comscore
Tumpuan :
Nasional

SOP penerbangan raptai lintas hormat sedia diteliti semula – Menteri 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedia meneliti keperluan untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) bagi persembahan raptai susulan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, Selasa lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, keperluan bagi meneliti semula SOP itu akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan nahas.

“Dari laporan itu, kita akan melakukan perkara yang sewajarnya dilakukan dan mengambil pengajaran yang sepatutnya” katanya ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk meneliti semula SOP persembahan ketika raptai susulan nahas berkenaan.

Mengulas lanjut, Khaled tidak menolak kemungkinan lembaga siasatan yang ditubuhkan TLDM akan memanggil semua pihak berpotensi termasuk syarikat pembekal helikopter bagi melengkapkan siasatannya.

“Jawatankuasa (lembaga siasatan) dibentuk dan mereka akan melihat, akan tentukan siapa yang akan (dipanggil untuk) membantu (siasatan).
Kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya apa yang berlaku. Tiada apa yang mahu diketepikan dan disorokkan,” katanya ketika sesi sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.

Selasa lalu dua helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90, yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pesawat itu kemudian terhempas masing-masing di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Nahas itu menyebabkan 10 kru dan penumpang terkorban.

Susulan itu sambutan berkenaan dibatalkan dan diganti dengan majlis bacaan doa selamat serta tahlil.

Loading...
Terkini