Tumpuan :
Nasional

Solidariti Palestin: Kutipan Tabung AAKRP cecah lebih RM81 juta

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kutipan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kini mencecah lebih RM81 juta, menghampiri sasaran RM100 juta sumbangan peringkat awal dari Malaysia bagi membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mewakili kerajaan terharu dengan sumbangan memberangsangkan dalam tempoh masa singkat.

“Ini menunjukkan keprihatinan dan saya terima kasih kepada syarikat kerajaan dan syarikat swasta baik syarikat Islam atau bukan Islam kerana isu ini adalah isu perikemanusiaan,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Pada masa sama, Anwar mahu penyaluran sumbangan perlu lebih telus dan bertanggungjawab bagi tujuan kemanusiaan, perubatan, makanan dan penyelenggaraan prasarana asas di Palestin.

Pada majlis itu, lebih RM71 juta sumbangan diserahkan daripada 46 entiti termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat swasta, yayasan dan persendirian.

Ini termasuk sumbangan RM15 juta masing-masing daripada Khazanah Nasional Bhd dan GLC serta Yayasan Albukhary.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen Malaysia membantu Palestin dengan penyaluran dana RM10 juta.

Semua sumbangan (tunai/cek) boleh disalurkan menerusi akaun CIMB Islamic Bank, di nombor akaun 8600302489 di bawah nama penerima Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Loading...
Terkini