Tumpuan :
Nasional

Solat tarawih: Masjid, surau di Terengganu dilarang guna imam warga asing

Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin, di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). FOTO NSTP

KUALA TERENGGANU: Masjid dan surau di seluruh negeri Terengganu dilarang menggunakan imam warga asing untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pengurusan masjid dan surau digalakkan menggunakan khidmat kalangan pelajar tahfiz tempatan bagi mengimamkan solat tarawih.

“Tiada imam asing contohnya daripada Mesir dan Arab Saudi mengimamkan solat terawih di semua masjid dan surau di negeri ini, kecuali mereka yang berkhidmat sebagai guru atau pensyarah di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.

“Kita amat menggalakkan pelajar kita yang hafal al-Quran dilantik sebagai imam tarawih dan elaun dibiayai oleh pengurusan masjid dan surau,” katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1446H/2025M, di sini, semalam.

Terdahulu, Shaikh Harun merasmikan Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin, di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, pendekatan memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz tempatan itu bertujuan memberi lebih pendedahan kepada golongan berkenaan bagi mengetuai solat tarawih pada usia muda.

Selain itu, katanya, pengurusan masjid dan surau juga diminta tidak mengehadkan membaca satu juzuk al-Quran bagi solat tarawih.

“Imam solat tarawih boleh bertahan dengan bacaan al-Quran yang panjang, tetapi menjadi kebimbangan kita makmum tidak tahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini