Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Transparency International – Malaysia (TI-M) menyatakan sokongan terhadap hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kekal memberi tumpuan terhadap penambahbaikan tatakelola pada tahun hadapan.
Presidennya, Muhammad Mohan berkata walaupun ada cabaran, pelaksanaan terhadap reformasi institusi perlu dipercepatkan.
“Memang perkara ini munasabah dilakukan, dia akan mengambil masa yang lama sedikit.
“Tetapi walaupun mencabar, langkah-langkah ini penting untuk mewujudkan masyarakat yang adil, lebih telus.
“Ia memerlukan kemahuan politik yang kuat, penguatkuasaan yang konsisten dan bukan saja melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja tetapi penguatkuasa yang lain dan penyertaan aktif dari semua sektor masyarakat,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, selain pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
“Satu yang saya nak tekankan di sini ialah di sektor awam, pembaharuan untuk menambah baik pengurusan dan mengurangkan peluang rasuah melalui proses perolehan, pengurusan kewangan yang lebih baik jadi perkara perlu dilakukan segera.
“Perubahan dalam pengasingan kuasa di antara AG dengan pendakwa raya juga, satu lagi yang penting untuk kerajaan memberi tumpuan.
“Kemudian, akta dana politik, akta kebebasan maklumat dan pindaan untuk kelompongan dalam Akta Pemberi Maklumat 2010 perlu diberi komitmen,” ujarnya.
Semalam dalam Sidang Media Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyatakan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Kabinet setakat dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata bagaimanapun masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi pencapaiannya kepada rakyat termasuk turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya amat menitikberatkan agenda tatakelola yang baik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.