![](https://media.buletintv3.my/2023/02/cms-nini-28.jpg)
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara pasukan negara asing yang terawal tiba di Turkiye bagi membantu kerajaan negara itu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi gempa bumi yang kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa termasuk di Syria.
Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, negara berjaya menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan segera dalam tempoh kurang 12 jam kejadian bencana itu.
Katanya, ia adalah hasil penyelarasan sangat baik antara semua agensi kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur serta Turkish Airlines.
“Susulan arahan Perdana Menteri pada petang kelmarin, Kerajaan Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye untuk terbabit dalam misi bantuan SAR mangsa yang terjejas, bersama pihak berkuasa tempatan.
![](https://media.buletintv3.my/2023/02/cms-nini-38.jpg)
![](https://media.buletintv3.my/2023/02/cms-nini-39.jpg)
“Seramai 70 anggota pasukan itu selamat tiba di Istanbul pada jam 6 pagi waktu tempatan semalam, dan turut digerakkan ke Adana bagi misi SAR di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987km dari Istanbul,” katanya.
Wisma Putra berkata, mesyuarat penyelarasan dipengerusikan bersama Menteri Luar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas) selepas pelepasan pasukan SMART di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut bersetuju untuk membentuk sebuah Pasukan Petugas (Task Force).
“Ia bagi menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia, termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pasukan Petugas itu diketuai bersama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan objektif utama bagi memastikan segala persiapan dan perancangan untuk salur bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini, berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh kerajaan-kerajaan berkenaan,” katanya.
Katanya, satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas itu dengan NGO Malaysia dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, Kementerian Luar menasihati warga Malaysia yang sedang berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan, supaya terus mengambil berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini.
“Patuhi nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
“Sekiranya memerlukan bantuan segera, warga Malaysia di negara-negara ini dinasihatkan segera berhubung dengan Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik,” katanya.-BERITA HARIAN