Tumpuan :
Nasional

Smart Lane akan diaktifkan di 25 lokasi kritikal sepanjang Tahun Baharu Cina – PLUS

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaafar (dua, kiri) melihat paparan skrin selepas Taklimat PLUS bagi Persediaan Operasi Lebuh Raya menghadapi Peningkatan Trafik Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Menara Korporat, Persada PLUS hari ini.

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan Smart Lane di 25 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal di lebuh raya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Apabila Smart Lane diaktifkan, lorong paling kiri akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong

Orang ramai boleh mengenal pasti pengaktifan Smart Lane menerusi papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip di lokasi.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang.

“Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

“PLUS juga menyarankan pengguna lebuh raya mematuhi arahan semasa oleh petugas di lokasi dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika Smart Lane diaktifkan. Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi yang tidak diaktifkan Smart Lane,” katanya ketika memberi taklimat Persediaan Operasi Lebuh Raya Dalam Menghadapi Peningkatan Trafik Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, di sini, hari ini.

PLUS turut menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak di rangkaian lebuh rayanya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina pada 24 Januari, 25 Januari, 31 Januari dan 1 Februari 2025.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Khairul Azhar serta Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Ismail Muhammad Kifli Ma Hassan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata selain mengaktifkan Smart Lane, PLUS juga mempertingkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota pasukan tindakbalas kecemasan (ERT) untuk menguruskan insiden lebuh raya dan menyediakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan sekali gus membantu pengagihan trafik.

“PLUS juga menambah baik kemudahan awam di lebih 50 lokasi sejak tahun 2023 dan menambah 50 tandas kabin bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa.

“Pengguna lebuh raya juga boleh menikmati diskaun 10 peratus bagi setiap transaksi pembelian tanpa tunai bernilai RM15 ke atas di kesemua kawasan rehat PLUS.” Katanya.

Airina turut berkata, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuh raya PLUS akan diberhentikan sementara bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025.

“Dalam tempoh ini, tiada penutupan lorong akan dijalankan kecuali membabitkan kerja-kerja pembaikan kritikal, kecemasan dan pengalihan kemalangan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak-Kulai, Johor akan diteruskan mengikut jadual perancangan semasa. Kerja yang sedang dijalankan di lokasi ketika ini hanya merangkumi kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan dan pengalihan utiliti yang tidak akan membabitkan sebarang penutupan lorong di laluan utama lebuh raya,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini. Beliau berkata, sebagai syarikat konsesi PLUS menerima keputusan daripada kerajaan.

PDRM juga akan mengerahkan sebanyak 6,956 petugas untuk bertugas sepanjang perayaan termasuk di lebuh raya, daerah dan kontijen untuk membantu memudahkan pergerakan pengguna jalan raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini