Oleh: Shuhadah Marzuki
KUALA LUMPUR: Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau Lupus adalah penyakit kronik auto imun yang tidak berjangkit tetapi boleh mengancam nyawa penghidapnya.
Di Malaysia, dianggarkan 43 daripada setiap 100,000 orang yang dikesan menghidap lupus melibatkan kaum wanita, berusia 15 hingga 45 tahun, iaitu lingkungan umur yang boleh hamil.
Menurut Presiden Persatuan SLE Malaysia, Dr Heselynn Hussein, lupus tidak berjangkit atau boleh diwarisi, namun pelbagai faktor boleh mengakibatkan individu terbabit mengidap SLE.
“Punca dia (SLE) adalah pelbagai. Ia disebabkan oleh banyak faktor. Ada juga sedikit disebabkan kecenderungan genetik. SLE bukan penyakit yang diwarisi dan tidak seperti thalassemia satu penyakit yang diwarisi. SLE berkaitan dengan gen dan pesakit selalunya terdedah dengan pelbagai faktor contohnya persekitaran, ketidakstabilan hormon seperti hormon estrogen. Sebab itu ramai kalangan pesakit ialah wanita”, katanya kepada Buletin TV3.
Mengulas lanjut, Dr Heselynn menjelaskan kadar kesedaran melakukan pemeriksaan SLE untuk pesakit yang mempunyai simptom masih rendah dan kebanyakan pesakit dikesan setelah SLE berada pada tahap serius.
Perkara itu amat membimbangkan kerana sekiranya rawatan awal tidak diberikan, ia mampu mengancam nyawa berikutan ia mampu mengakibatkan kerosakan pada organ.
Bagaimanapun, pesakit yang menjalani pemeriksaan awal serta melakukan rawatan berterusan mempunyai jangka hayat lebih lama.
Menurut Pakar Reumatologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Syahrul Sazliyana Shaharir pula, melalui rawatan berterusan juga, tidak mustahil untuk wanita yang mengidap SLE untuk berkeluarga dan hamil.
“Pesakit SLE perlu berbincang dengan pakar sebelum berkahwin dan merangcang untuk hamil. Ia memudahkan doktor pakar untuk pastikan penyakit itu stabil sebelum pesakit SLE hamil dan kita pastikan ubat yang diberikan itu sesuai untuk wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak. Pesakit SLE tidak perlu takut untuk berbincang dengan doktor. Ia tidak mustahil untuk pesakit SLE hamil tetapi perlu berbincang dengan doktor”
Terdapat pelbagai jenis rawatan yang perlu dilalui oleh pesakit SLE untuk mengurangkan risiko, tahap gejala serta kerosakan pada organ termasuk rawatan kemoterapi.
Bagaimanapun, menurut Dr Heselynn, selain rawatan, pengurusan tekanan amat penting untuk setiap wanita bukan hanya dalam kalangan pesakit SLE.
Sehingga kini masih belum ada rawatan untuk memulihkan penyakit SLE, namun, penyelidikan masih berterusan untuk memberi sinar baharu kepada penghidap.