Tumpuan :
Nasional

Skuad wushu remaja negara bukan ‘biasa-biasa’, muncul ketiga terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Skuad wushu remaja negara kini bergelar pasukan ketiga terbaik di dunia selepas menamatkan saingan di Kejohanan Wushu Remaja Dunia di Brunei dengan pencapaian gemilang membawa pulang sembilan pingat emas, 11 perak dan lima gangsa.

Pasukan terbaik menjadi milik China yang meraih 13 emas, empat perak dan dua gangsa, manakala Indonesia di kedudukan kedua dengan pencapaian 10 emas, 10 perak dan sembilan gangsa.

Bagi Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, beliau berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh barisan atlet negara dan ia menunjukkan satu peningkatan positif buat kem negara yang dalam persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik Remaja Dunia 2026 di Dhaka, Bangladesh.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua atlet, keluarga dan mereka yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada wushu.

“Kejayaan hari ini memberi petanda positif buat wushu negara terutama di peringkat remaja ini yang mana selepas ini, kami akan menilai mereka yang berbakat untuk diserapkan ke dalam MSN (Majlis Sukan Negara).

“Ia adalah penting bagi memastikan kesinambungan yang berterusan dalam sukan ini dapat dilaksana lebih awal,” katanya.

Pada temasya yang lalu di Indonesia, skuad remaja negara berjaya membawa pulang lima emas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini