comscore
Tumpuan :
Nasional

Skuad Uniti diaktifkan, siap sedia hadapi musim tengkujuh 

Foto hiasan

GUA MUSANG: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengaktifkan Skuad Uniti bagi membantu penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku November ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, Skuad Uniti akan membantu masyarakat dan penduduk yang terjejas akibat bencana termasuk banjir yang dijangka berlaku penghujung tahun ini.

“Di Pantai Timur apabila masuk November akan memasuki musim tengkujuh dan berkemungkinan berlaku banjir.

“KRT turut memainkan peranan membantu komuniti yang terjejas dengan bencana dan yang penting Skuad Uniti sudah diaktifkan untuk menghadapi banjir yang kemungkinan berlaku bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2.

Datuk Che Roslan Che Daud (dua kanan) melawat pameran pada Program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2, di sini, semalam – Foto: NSTP

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Beliau berkata, selain kerjasama antara komuniti, skuad itu juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita di peringkat ibu pejabat tak ada peruntukan khusus tetapi kita akan bekerjasama dengan semua agensi untuk membantu.

“Kerjasama dengan agensi ini akan membantu mereka yang memerlukan terutama penduduk di KRT,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Februari ini, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia Dr Fariza Yunus berkata perubahan cuaca itu berlaku disebabkan MTL yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.

Loading...
Terkini