Tumpuan :
Nasional

Skor Indeks Kesihatan Mental Belia di tahap sederhana

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) berada di tahap sederhana iaitu sebanyak 71.92.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan amat prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh belia sehingga menyebabkan kejadian bunuh diri.

Katanya terdapat beberapa faktor luaran yang terkait dengan isu itu termasuk gaya hidup dan teknologi.

“Kita amat prihatin terhadap stress, anxiety yang mengakibatkan terdapat kejadian bunuh diri.

“Ia diakibatkan beberapa faktor luaran umpamanya berlaku buli siber dan juga soal yang terkait dengan teknologi dan gaya hidup ya terdapat tujuh faktor yang melibatkan kadar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di bangunan Parlimen hari ini.

Merujuk kepada Pencapaian domain, katanya domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi iaitu 88.51, berada pada tahap memuaskan manakala skor terendah adalah domain persekitaran iaitu 65.45.

Domain lain dibawah skor indeks ini adalah gaya hidup, keperibadian individu, sokongan sosial, pengendalian tekanan dan minda sihat.

Tambahnya, secara keseluruhan majoriti belia tidak terdedah dengan pengalaman negatif seperti penderaan dan buli sepanjang kehidupan mereka.

Kesejahteraan mental adalah asas kepada keseimbangan diri yang stabil dan kesejahteraan sosial.

Justeru Ahmad Zahid berkata, antara syor yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut termasuklah penglibatan menyeluruh kementerian dan agensi dalam melaksanakan intervensi kesihatan mental yang lebih berkesan, khususnya bagi golongan belia.

Di samping itu, garis panduan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga atau rakan terdekat yang terkesan akibat kes cubaan atau kejadian bunuh diri turut dibincangkan secara serius.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini