KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan satu ‘chatbot’ bagi mengesahkan maklumat disebarkan di media sosial sama ada betul atau tidak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ‘chatbot’ berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Katanya, ‘chatbot’ itu adalah tambahan daripada laman web Sebenarnya.my yang digunakan SKMM.
“SKMM akan melancarkan chatbot ini dalam masa terdekat untuk mengesahkan maklumat tersebar di media sosial. Sesiapa (pengguna) dalam aplikasi WhatsApp boleh menghantar sesuatu mesej untuk dapatkan pengesahan.
“Sistem kecerdasan buatan (AI) akan menjawab dan mengesahkan berita ini sama ada ia betul atau tidak, namun kita sebagai pengguna media sosial perlu sentiasa berwaspada dan jangan terlalu mudah percaya dengan penyebaran berita,” katanya pada sidang media selepas sesi beramah mesra dengan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), hari ini.
Hadir sama, Presiden KEMUDI, Muhammad Yatimin Abdullah dan Timbalannya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.
Fahmi berkata, sebarang maklumat yang diperoleh orang ramai di media sosial boleh disahkan kesahihannya dengan merujuk perkara itu menerusi media arus perdana.
“Apa yang kita tonton dalam media sosial ada yang betul dan sebaliknya. Jadi, maklumat itu boleh disahkan menerusi media arus perdana kerana wartawan menyampaikan maklumat rasmi saja,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.