KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan bantuan bernilai RM580,000 kepada mangsa banjir di tujuh negeri membabitkan bakul makanan, toto dan kit pembersihan berdasarkan keperluan di kawasan terjejas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata melalui inisiatif Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi, pelbagai misi bantuan telah digerakkan ke Kelantan, Perak, Johor, Kedah, Melaka, Perlis dan Terengganu.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM komited untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Katanya, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi yang terjejas akibat bencana.
“Bagi membantu mereka, SKM memperuntukkan RM200,000 untuk disalurkan ke 14 Parlimen di Kelantan termasuk Gua Musang dan Rantau Panjang.
“Dijangka lebih 2,000 Ketua Isi Rumah (KIR) akan dibantu dalam misi bantuan untuk Kelantan, manakala secara keseluruhannya sebanyak 5,800 KIR akan menerima manfaat ini,” katanya pada sidang media di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, semalam.
Ramanan berkata misi itu menegaskan pentingnya solidariti tanpa mengira latar belakang politik.
“Perdana Menteri turut dipuji kerana sentiasa mengambil berat mengenai keadaan mangsa banjir, memastikan semua rakyat Malaysia mendapat bantuan tanpa diskriminasi.
“SKM sudah lama menjadikan bantuan bencana sebagai amalan berterusan. Selain mangsa banjir umum, koperasi-koperasi yang terkesan juga layak menerima bantuan.
“Melalui Tabung Kecemasan, koperasi yang mengalami kerosakan aset boleh menuntut sehingga RM30,000, dengan syarat laporan polis dan pematuhan kepada terma tertentu,” katanya.
Ramanan turut menghargai peranan ahli koperasi di seluruh negara yang membantu mangsa bencana dengan semangat keprihatinan dan kebersamaan.
Katanya, dengan misi bantuan ini, SKM terus menunjukkan komitmennya terhadap kebajikan rakyat Malaysia, memastikan setiap mangsa banjir mendapat sokongan sewajarnya.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban mangsa tetapi juga membuktikan perpaduan adalah kunci dalam menghadapi cabaran bencana alam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.