Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur (SKLLOA) mencadangkan agar hukuman tegas diambil terhadap pemandu atau syarikat pengusaha lori yang didapati gagal memastikan keselamatan kenderaan mereka termasuk kesalahan membawa muatan berlebihan sehingga menyebabkan kemalangan.
Setiausaha Agungnya, Alvin Choong berkata, tindakan tegas termasuk hukuman lebih berat terhadap pelaku dijangka mampu menangani isu yang dilihat berterusan sehingga menjejaskan imej industri itu.
“Apa yang benar-benar penting ialah melaksanakan hukuman tegas dan berat terhadap pemandu lori dan pengendali yang tidak bertanggungjawab ini.
“Nyawa yang tidak bersalah hilang akibat kecuaian dan kerakusan, kerana mereka memuatkan lori secara berlebihan. Ini menjadi salah satu faktor utama kegagalan sistem brek, tayar, dan kerosakan mekanikal,” jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Pada masa sama, beliau mengakui wujud pengendali lori yang enggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan di negara ini dengan sengaja membawa muatan berlebihan.
Justeru, langkah penguatkuasaan yang lebih ketat amat perlu bagi memastikan keselamatan pengguna lain di jalanraya.
“Ada pengendali lori terpaksa membawa muatan berlebihan kerana persaingan yang sengit. Mengikut Akta Pengangkutan 1987, jika lori membawa muatan berlebihan, lori tersebut tidak boleh dibenarkan meneruskan perjalanan.
“Sebaliknya, lebihan muatan itu mesti dipindahkan ke lori lain. Jika ini dilaksanakan, lori-lori tidak akan terus membawa muatan berlebihan dan menyebabkan masalah kepada pengguna jalan raya. Walau bagaimanapun, ini tidak dilakukan walaupun SOP dan peraturan ini telah wujud dalam Akta Pengangkutan sejak 1987,” katanya lagi.
Terdahulu, Polis sudah merakam keterangan pemandu lori yang terbabit dalam nahas lima kenderaan sehingga mengorbankan tujuh mangsa, termasuk lima sekeluarga, di Kilometer (KM) 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata keterangan pemandu lori berusia 31 tahun itu diambil pada malam kejadian selepas lelaki berkenaan tampil di Balai Polis Trafik Alor Gajah bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.