Tumpuan :
Nasional

Skim perlindungan baru untuk pekerja akan dibentangkan di Parlimen tahun ini

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Semua pekerja di negara ini, termasuk mereka dalam sektor ekonomi gig, bakal menerima perlindungan keselamatan sosial di luar waktu bekerja dan pada hujung minggu menerusi skim baharu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) amat diperlukan memandangkan kadar kemalangan dalam kalangan pekerja semakin membimbangkan.

“Ini kerana risiko kemalangan tidak hanya berlaku di pejabat atau dalam waktu bekerja. Secara prinsipnya, mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar Kementerian Sumber Manusia melaksanakan SKBBK,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Tambahnya, Kabinet telah bersetuju dengan skim yang dicadangkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan undang-undang berkaitan akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menurut Abdul Rahman, skim berkenaan adalah salah satu mekanisme perlindungan sosial bagi menangani cabaran risiko pekerjaan di luar waktu kerja, khususnya bagi pekerja dengan pengaturan kerja yang fleksibel.

Katanya, kementerian telah berbincang mengenai skim tersebut dengan pihak berkepentingan, termasuk wakil daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini