KUALA LUMPUR: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), yang menyediakan perlindungan kepada suri rumah, akan dilaksanakan mulai esok, sejajar matlamat menyediakan dan membangunkan keselamatan sosial yang komprehensif serta inklusif.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata skim diperkenalkan PERKESO itu menyediakan perlindungan kepada suri rumah apabila berhadapan bencana pekerjaan dan keilatan ketika melakukan urusan rumah tangga.
Ia juga, katanya, satu pengiktirafan kepada suri rumah berikutan pembabitan mereka dalam ‘Care Economy’ serta pembangunan institusi keluarga.
Beliau berkata, pelaksanaan SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) itu menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus bagi wanita dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.
“Skop ‘suri rumah’ di bawah akta itu adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak, merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.
“Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman RM120 setahun bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut, serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah.
“Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, caruman itu adalah secara sukarela, namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi isteri masing-masing, malah pihak ketiga juga, termasuk ahli keluarga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah.
Jelasnya, aktiviti pengurusan rumah tangga tidak terikat dengan rutin seharian dalam rumah, malah mencakupi hal lain berkaitan urusan rumah tangga, antaranya menjaga anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta membawa ibu bapa ke temu janji doktor.
Selain itu, beliau berkata, skim itu juga menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.
Menerusi Perlindungan Bencana Domestik, pencarum mendapat adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.
Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.
Permohonan untuk menyertai SKSSR dibuka esok. Orang ramai boleh melayari layari laman sesawang rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000 untuk maklumat lanjut. – BERNAMA