comscore
Tumpuan :
Nasional

SKDS: KPDN perhalusi kaedah mempercepat pengeluaran kad fleet pascabayar

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi kaedah bagi menyegerakan pengeluaran kad fleet, terutamanya bagi pemohon kategori pascabayar di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata satu mesyuarat bersama dengan syarikat minyak akan diadakan Khamis ini bagi memperincikan kaedah serta julat masa yang terbaik bagi urusan pengeluaran kad fleet itu.

“Kita tiada isu melibatkan kad fleet prabayar. Namun bagi kategori pascabayar, penelitian perlu dilakukan bagi mengesahkan kemampuan kewangan sesebuah syarikat yang memohon. Sebelum ini, tempoh kelulusan adalah sekitar sebulan dan dipendekkan kepada hanya 10 hari.”

“Kita akan pantau secara rapat dan meminta syarikat minyak mengambil pendekatan sehabis baik untuk mempermudahkan proses permohonan. Buat masa ini, kad tunai dapat digunakan pemilik kenderaan logistik yang masih belum menerima kad fleet di bawah SKDS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberikan jaminan setiap pendaftaran setakat 30 Jun lalu layak menerima subsidi.

“Mereka tidak perlu khuatir kerana mereka layak dan Kementerian Kewangan juga telah mempermudah proses kepada bayaran balik.”

“Kelewatan ini juga adalah berpunca dari pendaftaran yang banyak sejak pengumuman penyasaran subsidi diesel dibuat. Setakat 8 Julai lalu, sebanyak 165,897 kad fleet telah dikeluarkan syarikat minyak tempatan,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Armizan, pada Rabu di Dewan Rakyat mengakui berlaku kelewatan pengeluaran kad fleet bagi kegunaan syarikat pengangkutan darat barangan.

Bagi menangani isu berbangkit, KPDN katanya mengambil beberapa langkah seperti memohon syarikat minyak melaksanakan penggunaan kad fleet tunai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini