KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Khamis lepas berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) ditahan semula hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
Menurut sumber SPRM, individu itu ditahan semula selepas perintah tahanan reman berkenaan kes pertama tamat hari ini.
“Pegawai penyiasat memutuskan untuk menahan semula ahli perniagaan itu kerana menerima maklumat dia mungkin terbabit dalam satu lagi kes rasuah.
“Kes kedua juga ada kaitan dengan MBI, tetapi membabitkan projek lain di bawahnya,” katanya.
Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM minggu lalu kerana disyaki melakukan rasuah berkaitan konsesi perlombongan pasir di Selangor.
Tiga individu lain yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 45 tahun yang juga bekas eksekutif MBI, seorang kakitangan wanita di sebuah syarikat perlombongan pasir berumur 46 tahun, dan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.