comscore
Tumpuan :
Nasional

Skandal perlombongan pasir: SPRM geledah 6 lagi premis, jumpa wang tunai

 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menemui wang tunai selepas menggeledah enam lagi premis berhubung siasatan skandal rasuah perlombongan pasir yang dikaitkan dengan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Buletin TV3.

Menurut sumber, penggeledahan itu membabitkan sebuah kediaman dan lima unit pejabat di sekitar ibu negara.

“Enam premis digeledah hari ini di sekitar Kuala Lumpur, ada jumpa wang tunai yang masih dalam kiraan,” katanya.

Sumber berkata, setakat ini, tiada premis atau kenderaan disita.

Ujarnya, seramai 25 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan dengan 11 individu dipanggil hari ini.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, ahli perniagaan yang ditahan semula berhubung dakwaan skandal rasuah sama direman lima hari sehingga Ahad ini.

Terdahulu, ahli perniagaan itu dilapor ditahan semula SPRM selepas tempoh tahanan reman sejak Khamis lalu tamat hari ini.

Suspek itu ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.

Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM sepanjang minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.

Tiga lagi membabitkan seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun, selain seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita yang juga bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes berkaitan konsesi perlombongan pasir berkenaan.

Mengulas lanjut, menurut sumber, dua daripada suspek telah dibebaskan.

“Dua telah dibebaskan, dua masih dalam reman,” katanya.

Azam sebelum ini berkata, seorang ahli politik dikaitkan dengan siasatan itu, namun beliau tidak mendedahkan namanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan, ahli politik itu akan dipanggil selepas penyiasat mengumpul serta mengesahkan semua bukti diperlukan, termasuk dokumen dan wang.

Dalam serbuan Sabtu lalu, SPRM menjumpai SG$1.529 juta atau bersamaan RM5.5 juta di sebuah lokasi yang dirujuk sebagai rumah selamat atau ‘safehouse’.

Dua hari kemudian, Azam memaklumkan, pegawainya menemui dua lagi ‘safehouse’ lain dengan satu daripada premis itu menempatkan wang tunai berjumlah kira-kira SG$74,000 iaitu RM243,000 mengikut kadar semasa.

Katanya, SPRM juga menemui kira-kira RM78,000 di pejabat lain, selain menerima maklumat yang sebahagian wang sudah dilaburkan di Singapura dan mungkin terdapat akaun lain di bank berbeza.

Beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini