Tumpuan :
Nasional

SK Seberang Perak mulakan kempen 1 Murid 1 Botol Air

Murid turut dilihat membawa botol air ke sekolah.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ALOR SETAR: Berikutan cuaca panas terik ketika ini, Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, disini, menganjurkan kempen Jom Minum Air – 1 Murid 1 Botol Air yang bertujuan menghindarkan muridnya daripada strok haba.

Kempen itu diwar-warkan kepada ibu bapa dan waris sejak seminggu lalu dan mula dilaksanakan semalam pada pembukaan semula sekolah selepas cuti perayaan Aidilfitri.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Seberang Perak, Vasanthi Arumugam.

Bercakap kepada Buletin TV3, Guru Penolong Kanan Pentadbirannya, Vasanthi Arumugam berkata, objektif kempen ini adalah menerapkan amalan hidup sihat kepada seluruh warga sekolah agar dapat mengelakkan daripada penyakit akibat cuaca.

“Satu perkembangan yang baik dan pujian perlu diberikan kepada ibu bapa yang menyediakan botol air kepada anak-anak mereka, kerana kesemua murid iaitu 100 peratus dilihat membawa bekal air masing-masing sejak semalam.

“Amalan membawa botol air amat mustahak demi mengelakkan murid daripada terkena strok haba,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, kempen itu turut disebarkan secara meluas melalui kumpulan Whatsapp bersama ibu bapa dan di media sosial rasmi sekolah.

Lebih dari itu, katanya, murid turut diberikan Taklimat Kesihatan dan Keselamatan, strok haba dan COVID-19 sebagai usaha mendidik mereka bagaimana untuk mencegah dan mengambil langkah perlu untuk mengatasi cuaca panas ketika ini.

Loading...
Terkini