comscore
Tumpuan :
Nasional

SK LKTP Bukit Goh wakil negara di World Robot Games WRG 2024

Pengarah FELDA Wilayah Kuantan, Dr Mohd Shaiful Hassan (lima kiri) melihat demostrasi pasukan Gohillians Robotic Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Goh yang menjadi juara Pertandingan Robotik FELDA Kebangsaan 2024 sempena Hari Peneroka FELDA 2024. – Foto: NSTP

KUANTAN: Pasukan Gohillians Robotic dari Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Goh, di sini bakal berentap di World Robot Games (WRG) 2024 di Nanyang Polytechnic, Singapura pada 6 hingga 8 November depan.

Penyertaan Gohillians Robotic selepas kejayaan muncul juara Pertandingan Robotik FELDA Kebangsaan 2024 sempena Hari Peneroka FELDA 2024 yang diadakan di MAEPS Serdang, Selangor 12 hingga 14 Julai lalu.

Penyelaras yang juga guru pasukan, Wan Mohd Hairi Wan Hassan, berkata pada pertandingan itu, Gohillians Robotic menewaskan 80 sekolah FELDA dari seluruh negara.

Katanya, pada awalnya pasukan itu memenangi kategori Mega Sumo Robot kilogram dan tempat ketiga kategori Mini Sumo Robot 1.5 kilogram.

Foto: NSTP

“Pasukan ini layak ke pusingan akhir pertandingan Program Ai Robot Examination sekali gus kami muncul juara utama Pertandingan Robotik FELDA Kebangsaan 2024.

“Oleh itu, Gohillians Robotic ingin menjadi tonggak utama membawa nama FELDA di pentas dunia dan WRG 2024 di Singapura untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan Gohillians Robotic di Menara Kuantan 188, di sini semalam.

Kejayaan pasukan itu diwakili Muhammad Syauqi Mohd Sidek, 11; Muhammad Wazif Qaid Abu Zalrifari Ikram, 11 dan Iman Muhammad Zafri Zamrizal 12 diraikan Pengarah FELDA Wilayah Kuantan, Dr Mohd Shaiful Hassan.

Sementara itu, Iman Muhammad Zafri berkata, kejayaan muncul juara peringkat kebangsaan memberi motivasi kepadanya dan rakan lain untuk mengharumkan nama sekolah, khususnya Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, penyertaan ke WRG 2024 menambah lagi keyakinan untuk lebih bersedia berhadapan dengan cabaran lebih besar.

“Kami akan melakukan yang terbaik bukan saja mewakili SK LKTP Bukit Goh dan FELDA, malah ia lebih untuk negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini