JOHOR BAHRU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masai muncul pemenang utama anugerah pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2024.
SJKC Masai menewaskan 19 sekolah lain dalam pertandingan akhir selepas melalui penilaian yang membabitkan aktiviti pembentangan di reruai, sesi pengucapan awam, dan sesi soal jawab pakar cilik rendah karbon.
Sebanyak 19 kategori yang dipertandingkan termasuk Sekolah Terbaik IMELC, Sekolah Terbaik Kitar Semula, Ikon Murid dan Keluarga, Sekolah Efektif Air, Sekolah Efektif Tenaga, Sekolah Kurang Murid, Sekolah Luar Bandar dan Inisiatif Program Pendidikan Khas.
Kejayaan itu hasil kesungguhan guru dan pelajar melaksanakan inisiatif berkaitan kelestarian dan kehidupan rendah karbon di negeri ini.
Pertandingan yang masuk edisi ke-12 itu disertai lebih 900 sekolah rendah dan hampir 500,000 individu termasuk pelajar, guru, keluarga dan komuniti di Johor.
Turut mencuri tumpuan pemenang bagi kategori ikon murid dan keluarga yang disandang, Muhammad Ilman Hafiy Mohd Noor Hafizan.
Murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth itu membuktikan status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang beliau untuk menyertai aktiviti rendah karbon seperti pelajar lain yang sempurna dari segi fizikal.
IMELC adalah program tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2013.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Kemuncak program acara Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) esok di Iskandar Puteri, membabitkan penglibatan 100 sekolah dan 250 peserta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.