comscore
Tumpuan :
Nasional

SJKC Bahau ditutup sementara akibat penyakit HFMD

Foto hiasan

JEMPOL: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahau ditutup sehingga Isnin ini berikutan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, pada Khamis lalu seramai lapan murid dijangkiti penyakit itu sebelum tiga kelas ditutup.

“Semalam (Jumaat), empat lagi murid dijangkiti sebelum 17 kelas ditutup. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol kemudian mengarahkan sekolah berkenaan ditutup sehingga Isnin ini,” katanya.

Datuk Dr Roslan berkata, penutupan sekolah berkenaan bagi membolehkan kerja mencegah penyakit berjangkit itu dijalankan.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akan memantau perkembangan HFMD di sekolah berkenaan dari masa ke semasa.

“Setakat ini hanya sekolah yang mempunyai 419 murid itu sahaja ditutup sementara di daerah ini berikutan HFMD.

“Saya mohon semua ibu bapa yang terbabit supaya sentiasa memberi perhatian kepada kesihatan anak-anak, sentiasa mengawasi mereka dan mengambil nasihat daripada pihak kesihatan,” katanya.

Semalam, satu notis penutupan sekolah dikeluarkan PKD Jempol bagi menjalankan kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Arahan itu selaras dengan kuasa di bawah Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini