comscore
Tumpuan :
Nasional

Sivasangari ke separuh akhir, Eain Yow terkandas

Sivasangari membalas pukulan Alicia Mead pada aksi suku akhir Land Open. – Foto: PSA World Tour

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Land Open di Cleveland, Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu mengatasi pemain England, Alicia Mead 11-6, 11-8, 11-8 pada aksi suku akhir.

“Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa yang terlalu lama.

“Jadi saya mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” kata Sivasangari yang kali ketiga mara ke separuh akhir dalam saingan Jelajah Dunia musim ini.

Sivasangari akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pemain England iaitu pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft bagi perebutan tiket ke pentas final, awal pagi Ahad ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Ng Eain Yow apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan Leonel Cardenas dari Mexico dalam pertarungan yang berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu, 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan untuk mara ke separuh akhir dengan 11-6.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini