BUKIT MERTAJAM: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan segelintir penyokong Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyamakan situasi penahanan Menteri Besar Kedah itu dengan keadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan pada 1998 sebagai mengarut.
Rafizi Ramli, berkata beliau ‘geli hati’ melihat beberapa kisah penahanan Sanusi yang dijaja di media sosial dengan mengaitkan situasi serupa dihadapi Presiden PKR, 25 tahun lalu.
Katanya, apa yang berlaku terhadap Sanusi sangat berbeza dengan Anwar yang ketika itu disepak terajang, sedangkan Menteri Besar Kedah berkenaan hanya ditahan untuk pendakwaan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
“Sanusi (ketika ini) jejaka ‘Malaya paling glamour’ (terkenal) tapi beliau tak masuk lokap pun yang beliau hanya ditahan dan didakwa tetapi ada yang nak disamakan (apa yang berlaku terhadap Sanusi) dengan Anwar masa 1998 dulu.
“Kalau ada orang sepak terajang Sanusi itu lain lah. Ini nasib baik beliau kena tahan dan dakwa je tapi kecoh, kononnya orang-orang dalam Kerajaan Perpaduan ni takut dengan Sanusi sampai beliau kena tangkap pukul 3 pagi,” katanya ketika berucap pada Jelajah Madani Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, di sini, malam tadi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau menasihati Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu supaya berhati-hati dan menjaga percakapan dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri menyebabkan beliau akan ke penjara.
“Masa saya jadi pembangkang dulu, bila nak bawa suara kebenaran nak sampaikan kepada masyarakat kita berdepan dengan pelbagai cubaan. Saya ada 14 kes mahkamah yang ada dua ke tiga hari dan paling lama lima hari dalam lokap (penjara).
”Masuk lokap empat ke lima hari, bab tidur tak ada masalah, kita gemuk jadi kalau kurang makan tak apa, tapi bab mandi ada masalah yang pesan saya kepada Sanusi kalau tak jaga mulut sekali lagi kena tahan, jangan mandi sebab kalau nak mandi, kena bogel,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi juga secara sinis memberitahu tiada ahli politik dalam PKR ditahan atau didakwa atas kesalahan menghina institusi diraja.
“Pelik mereka (PN) yang menunjukkan diri sebagai parti memperjuangkan Melayu, Islam didakwa atas kesalahan menghina raja. Kalau saya yang kata macam itu (memperlekehkan sultan) mesti PAS dah keluar berarak atas jalan hingga memerlukan saya kena masuk gua kerana takut untuk keluar.
“Saya nak nasihat lagi, kalau dia ( Sanusi) rasa dan nak jadi hebat, kacau, langgar itu ini tak ada masalah tapi kena bersedia terima akibatnya,” tegasnya.
Semalam, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan membuat kenyataan menghasut dan berkecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.
Dua pertuduhan menghasut itu adalah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, 11 Julai lalu.
Beliau diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini sehingga perbicaraan selesai.