Tumpuan :
Nasional

Situasi cuaca yang jarang berlaku, hujan diramal berterusan hingga Ahad

Jalan utama untuk memasuki bandar Kota Tinggi ditutup untuk lauan semua jenis kenderaan awam berikutan banjir yang melanda – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Taburan hujan yang tinggi di Johor sejak beberapa hari lalu adalah suatu yang jarang berlaku, tetapi berdasarkan rekod ia bukan suatu yang luar biasa kerana situasi sama pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, ketika ini negara sedang di penghujung Monsun Timur Laut dan kebiasannya cuaca di Semenanjung adalah lebih kering.

Namun taburan hujan yang tinggi di Johor sejak beberapa hari lalu menyebabkan peningkatan paras air yang mengakibatkan beberapa daerah di negeri itu dilanda banjir.

“METMalaysia sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan pada 25 Februari lalu, membabitkan Johor dan hujan berterusan mulai turun pada 28 Februari. Walaupun intensiti hujan berterusan sudah berkurang namun hujan berterusan masih dijangka sehingga Ahad ini.

“Sehingga semalam, taburan hujan yang dicatat di beberapa buah Stesen Meteorologi di Johor iaitu di Majlis Daerah Labis ialah 540.5 milimeter (mm), Kluang (436.4 mm), JKR Kota Tinggi (419.80 mm), Mersing (252.6 mm), Senai (243 mm) dan Batu Pahat (215 mm),” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hujan berterusan yang sedang berlaku di Johor dan selatan Pahang dijangka sehingga Ahad ini dan pada masa sama kawasan barat dan tengah Sarawak turut berpotensi mengalami cuaca sama.

“METMalaysia juga sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan sejak 24 Februari dan amaran itu masih berkuat kuasa di kawasan terbabit sehingga esok, manakala di negeri lain tiada potensi untuk berlaku hujan berterusan untuk beberapa hari ini,” katanya.

Muhammad Helmi berkata, penduduk di kawasan terbabit amaran cuaca dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“METMalaysia akan berterusan memantau dan memaklumkan perkembangan cuaca dari semasa ke semasa melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi. Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini