KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman masih kekal dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 29 mangsa daripada enam keluarga masih berada di PPS Balairaya Padang Kemunting.
Laman web public InfoBanjir pula memaklumkan empat sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman pada bacaan 2.42 meter melepasi 1.9 meter.
Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1) Setiu, paras sungai meningkat kepada 20.49 meter melepasi paras amaran 20 meter manakala Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih dibaca pada 13.99 meter melebihi paras amaran 13 meter.
Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu juga mencatatkan bacaan amaran apabila paras air melepasi bacaan 12 meter kepada 12.07 meter.
Empat lagi sungai yang dikategori sebagai berjaga-jaga iaitu di Kampung Felda Mengkawang (F1) Hulu Terengganu, dengan bacaan 36.88 meter melepasi (36.5 meter).
Paras Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, mencatat bacaan 17.6 meter berbanding (17.5 meter) manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, menunjukkan bacaan 7.26 meter berbanding (7 meter).
Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1) Kuala Terengganu, pula bacaan 2.15 meter melepasi (2 meter).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.