comscore
Tumpuan :
Nasional

Siti Saleha calon Bintang Asia Terbaik di Korea

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Teruja dan rasa bersyukur atas pencalonan yang diterima.

Itu reaksi pelakon, Siti Saleha atas pencalonan dalam kategori Bintang Asia Terbaik – Malaysia sempena Anugerah Drama Antarabangsa Seoul yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan 25 September ini.

Menurut Siti Saleha namanya dicalonkan menerusi drama Tonton Original Series berjudul SeOfis yang ditayangkan di platform digital itu Januari lalu.

“Pengurus beritahu TV3 dan Tonton mencalonkan nama saya untuk anugerah ini beberapa bulan lalu. Selain saya, ada juga beberapa nama pelakon lain yang turut dicalonkan.

“Pemenang berdasarkan undian global peminat menerusi aplikasi Idol Champ. Masa mula-mula diberitahu, saya susah juga nak percaya.

“Tapi selepas membuat kaji selidik, barulah saya tahu yang anugerah ini sudah lama wujud. Sangat menakjubkan bila nama saya tercalon dalam acara anugerah bertaraf antarabangsa seperti ini.”

Perkara itu dikongsikan melalui sidang media secara maya.

Menerusi kategori itu, barisan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura turut dicalonkan.

Bagi Siti Saleha, dia sentiasa menghargai pencapaian di peringkat luar negara dan menyifatkan peluang sebegitu membuka jalan buatnya terus melebarkan nama di luar.

“Saya melihat pencalonan ini sebagai satu peluang yang besar untuk saya kembangkan lagi bakat lakonan. Walaupun sekadar finalis itu sudah  memadai.

“Saya tidak sabar berjumpa dengan semua yang hadir dan beramah mesra serta bergambar kenangan dengan calon dari negara serantau lain.”

Dalam pada itu, jurucakap TV3 dan tonton, Muhammad Taqyuddin Kamil pula menyifatkan pencapaian itu bukti ramai pelakon berbakat besar tempatan boleh diketengahkan ke luar negara.

“Kami percaya industri seni tempatan mampu melahirkan lebih ramai bakat seperti Siti Saleha yang mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Dengan fokus yang semakin meningkat pada penghasilan karya berkualiti, program latihan yang sistematik, dan sokongan dari pelbagai pihak, kami yakin bahawa bakat tempatan dapat berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini