Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Penyitaan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah mengikut peruntukan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, sitaan akaun bank tersebut adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
Menurutnya, sitaan akaun bank berkenaan adalah kerana ia ‘subject matter’ kepada siasatan serta pendakwaan dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan ‘Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, pendakwa raya telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang mempertimbangkan saman terhadap SPRM dan sebuah bank susulan pembekuan akaun parti terbabit yang kini sudah berlarutan hampir dua tahun.
Semalam, pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, Muhyiddin menyifatkan pembekuan akaun parti itu tanpa sebab jelas adalah satu tindakan menyalahi undang-undang dan salah guna kuasa.
Mengulas lanjut, Wan Shaharuddin berkata, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam AMLAFTPUAA 2001.
Seksyen berkenaan menyatakan bahawa sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta tersebut.
“Adalah jelas, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU telah dipertuduh di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
“Bagaimanapun, pihak BERSATU telah pun memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
“Dan pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman BERSATU tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025,” katanya.
Justeru, beliau berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes berkenaan adalah tertakluk kepada peruntukan akta sedia ada.
“Bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.