KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita kenderaan yang dikesan menggunakan ‘ejen kosmetik’ yang menyediakan khidmat kepada kenderaan berat, termasuk ‘sewa tayar’ bagi mendapat kelulusan PUSPAKOM.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan perdagangan yang dikesan melakukan penipuan itu.
Beliau berkata, ini kerana kegiatan penipuan itu membabitkan keselamatan awam dan memberi risiko bahaya kepada pengguna kenderaan lain.
“JPJ Terengganu memandang serius kesalahan ini dan tidak sesekali berkompromi dan mengambil tindakan tegas termasuk menyita kenderaan yang terbabit dengan kesalahan itu (guna ejen kosmetik),” katanya ditemui selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Eskpres Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Sirim Berhad dalam usaha menangani isu ‘ejen kosmetik’ di negeri ini.
Katanya, pihaknya juga akan meningkatkan pemeriksaan di pintu keluar PUSPAKOM bagi memastikan kenderaan yang melalui pemeriksaan di pusat berkenaan bebas daripada penggunaan ‘ejen kosmetik.
“Kita sudah menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 160 kenderaan di pintu keluar PUSPAKOM dan belum menemui kesalahan besar yang membabitkan tayar celup atau tayar ganti uzur yang tidak selamat,” katanya.
Khidmat menukar tayar atau komponen lain kepada yang elok semata-mata untuk lulus pemeriksaan PUSPAKOM ada diiklankan secara terbuka di media sosial yang mencuri tumpuan selepas tragedi mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, 23 Disember lalu.
Nahas mengorbankan lima sekeluarga, seorang pemandu bas persiaran dan seorang penumpangnya di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh.
Polis dilaporkan berkata, tayar depan kanan sebuah lori dipandu lelaki berusia 31 tahun tercabut dan berada di lorong tengah, sebelum dilanggar bas persiaran yang kemudian hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan serta merempuh tiga kenderaan lain.
Susulan itu, JPJ melancarkan Op Mengejut PUSPAKOM serentak di seluruh negara dan mengesan ada kenderaan berat menggunakan tayar celup uzur dan tidak selamat yang berisiko meletup bila-bila masa, hadir pemeriksaan di pusat berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.