KUALA LUMPUR: Sistem pemerolehan aset pertahanan negara perlu dirombak bagi memastikan pelaksanaan proses itu lebih telus, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, sistem pemerolehan aset pertahanan negara perlu diputuskan sendiri oleh tentera dan tidak lagi boleh diuruskan pihak luar.
“Walaupun tahun ini saya tekankan soal kelengkapan tentera, jadi kita anjurkan kepada pimpinan supaya sistem perolehan pertahanan negara mesti dirombak. Tidak boleh lagi campur tangan pihak luar.
“Ketua Turus (Angkatan Tentera Malaysia (ATM)) dipertanggungjawabkan pilih yang terbaik. Kapal perang, pesawat, ‘tank’ dan kelengkapan lain mesti yang terbaik.
”Tak perlu lagi mengulangi kerenah terdahulu, merompak melalui komisyen,” katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Usahawan Vateran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang.
Anwar berkata, soal pertahanan negara, kesiapsiagaan dan kelengkapan pertahanan seharusnya selaras, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan geopolitik serta strategik negara.