KUALA LUMPUR: Sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai kerana projek monorel Putrajaya ditangguhkan.
Ia juga dilihat suatu pembaziran sekiranya infrastruktur dibangunkan tidak dimanfaatkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.
Menurut LKAN, penangguhan pembangunan mod pengangkutan monorel yang merupakan tulang belakang sistem pengangkutan awam di Putrajaya juga memberi kesan kepada perkhidmatan bas dan penggunaan fasiliti berkaitan.
“Sebaliknya, kerajaan terpaksa menyediakan TLK (Tempat Letak Kereta) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan core dan perumahan,” menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, pelaksanaan projek monorel tersebut meliputi dua laluan iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km) manakala Laluan 2 sepanjang 6 km selain stesen monorel yang dibina di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7 tetapi masih belum siap sepenuhnya.
Laporan itu mendedahkan kerja pembinaan infrastruktur monorel tersebut ditangguhkan pada 2004, bagaimanapun pihak Audit tidak dapat mengesahkan justifikasi penangguhan projek kerana tiada dokumen sokongan diperoleh.
“Lawatan fizikal Audit pada 16 Ogos 2022 mengesahkan bahawa sebahagian infrastruktur seperti kerangka asas bagi terowong, tiang-tiang bagi landasan dan jambatan untuk monorel telah dibina,” menurutnya.
Laporan itu menyatakan infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.
Empat mod pengangkutan yang siap dibangunkan adalah Express Rail Link (ERL), bas, pengangkutan air dan rangkaian pejalan kaki dan basikal manakala tiga mod digunakan sepenuhnya adalah ERL, bas dan rangkaian pejalan kaki dan basikal.-Berita Harian