KUALA LUMPUR: Aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan atau MyJPJ tergendala sejak semalam selepas mengalami jumlah trafik yang tinggi.
Ia berikutan orang ramai menyemak secara serentak salinan lesen memandu dan cukai jalan digital seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menerusi paparan dalam MyJPJ itu, ia memaklumkan laman sesawang itu masih dalam tempoh percubaan dari Februari hingga Mac ini dan beberapa pautan yang disediakan gagal untuk diakses.
Perkara itu turut disahkan Loke semalam selepas orang ramai mengadu gagal mendaftar masuk MyJPJ.
“Seperti mana-mana sistem yang baharu, sudah tentu ramai orang ingin mendaftar pada masa sama menyebabkan trafik sangat tinggi,” katanya dalam Facebook, semalam.
Loke juga memaklumkan beliau tidak mewajibkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi itu kerana ia hanya satu pilihan diberikan kepada rakyat bagi mendapatkan dokumen itu secara digital.
Malah, orang ramai yang tidak memuat turun aplikasi itu juga tidak akan disaman kerana cukai jalan dan lesen itu boleh dilihat dalam sistem milik penguat kuasa yang bertugas.
Semalam, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan masing-masing, berkuat kuasa serta-merta.
Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal bagi warganegara.
Sejurus pengumuman itu, peruntukan bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mengkehendaki setiap Lesen Kenderaan Motor (LKM) dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi dikuatkuasakan bagi kategori pemilik bawah fasa pertama itu. – BERITA HARIAN