Tumpuan :
Nasional

Sistem kerajaan persekutuan terbukti berkesan sejak 6 dekad lalu – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat meletakkan keyakinan kepada sistem kerajaan persekutuan, yang menurutnya terbukti sebagai alat berkesan untuk menguruskan hubungan antara pusat dan negeri sejak enam dekad lalu.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat meletakkan keyakinan kepada sistem kerajaan persekutuan, yang menurutnya terbukti sebagai alat berkesan untuk menguruskan hubungan antara pusat dan negeri sejak enam dekad lalu.

“(Sistem ini) akan terus diamalkan sehingga beberapa dekad akan datang. Ini sistem yang kita warisi, dan saya rasa dalam proses ini, kita perlu pastikan kita matang,” kata Perdana Menteri dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Beliau berkata, Putrajaya sentiasa berdepan tuntutan daripada pelbagai kumpulan.

“Yang pertama, (golongan) profesional Islam, kumpulan gereja, golongan Tamil dan Hindu. Itulah realitinya. Kemudian di Sabah dan Sarawak pula, ada tuntutan baharunya,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak melihat hubungan sedia ada antara Putrajaya dengan mana-mana negeri atau kumpulan sebagai ‘menyusahkan atau bermasalah’.

“Kita perlu pastikan proses rundingan (berasaskan) kepercayaan, persefahaman dan rasa hormat ini berterusan.”

Beliau turut ditanya tentang bagaimana perpaduan negara boleh diperkukuh dalam menghadapi desakan yang semakin lantang daripada beberapa negeri agar autonomi lebih besar diberikan.

“(Malaysia ialah) sistem berpersekutuan. Kita kemudi, kita runding, tetapi kita juga tetapkan batasnya.

“Kita perlu perkasakan negeri-negeri ini dari mana-mana segi yang perlu. Pada masa sama, negeri boleh buat tuntutan. Kadang-kadang mereka ada keupayaan, kadang-kadang tidak,” katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negeri berusaha menuntut bahagian yang lebih besar daripada hasil negara.

Awal tahun ini, Pulau Pinang dan Johor menyatakan hasrat menuntut semula sekurang-kurangnya 20 peratus daripada cukai yang dikutip manakala Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak mendesak untuk memperoleh bahagian royalti lebih besar daripada hasil minyak.

Sementara itu, Persatuan Undang-undang Sabah mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan hak negeri atas 40 peratus bahagian hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri itu, seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Sarawak juga menggiatkan usaha untuk meningkatkan hasil negeri dengan cuba mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber minyak dan gas, sama ada di dalam atau luar pesisir.

Sebagai respons, kerajaan persekutuan mengumumkan penggandaan geran khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025.

Premier Sarawak Abang Johari Openg mengiktiraf persefahaman yang semakin mendalam antara pemimpin persekutuan dan negeri dalam isu berkaitan hak Sarawak bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Baru-baru ini, federalisme dilihat sebagai perisai terbaik Malaysia terhadap ancaman ketenteraan dan politik luar, di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China, serta tuntutan China yang semakin meluas ke atas Laut China Selatan.

Bagi memperkukuh keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia Timur, kerajaan menambah baik barisan pertahanan maritim termasuk mengendalikan pangkalan kapal selam tentera laut di Kota Kinabalu, Sabah dan pemasangan sistem radar di Pantai Timur negeri itu.-FMT

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini