Tumpuan :
Nasional

Sistem jaringan jalan raya di Malaysia hampir matang, antara punca kemalangan

Foto hiasan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Pertambahan 6.12 peratus jumlah pemilikan kenderaan di Malaysia dalam setahun, menjadikan sistem jaringan jalan raya sedia ada di negara ini hampir matang.

Sekali gus dilihat mungkin tidak mampu menampung pertambahan isipadu kenderaan.

Peningkatan ini akhirnya menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di kawasan bandaraya khususnya di Lembah Klang.

Mengikut kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), selain daripada kepadatan trafik atau lalu lintas, kematangan jalan raya juga dinilai dari beberapa sisi lain seperti aspek fizikal serta pengurusan.

“Bagi jalan raya yang telah melepasi jangka hayat, kebiasaannya penyelenggaraan dilakukan ke atas jalan raya yang rosak akan kurang keberkesanannya dan akan menyebabkan kerosakan yang sama berulang.”

“Selain itu, dengan berlakunya pembangunan teknologi yang pesat pada era ini, reka bentuk jalan raya juga turut menerima impak di mana reka bentuk jalan raya yang lama atau telah matang mungkin tidak dapat menampung kemajuan teknologi daripada kenderaan masa kini,” kongsi Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (REER) MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (REER) MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan

Bercakap kepada Buletin TV3, sistem jalan raya yang hampir matang juga tidak dinafikan menjadi salah satu punca nahas jalan raya.

“Faktor jalan menyumbang sebanyak 24 peratus dalam nahas di jalan raya manakala faktor yang paling banyak adalah tingkah laku pengguna jalan itu sendiri iaitu sebanyak 67 peratus,” ujarnya.

Bagi mengurangkan risiko nahas yang disebabkan oleh keadaan jalan raya, Pegawai Penyelidik Unit Trafik dan Infrastruktur Jalan, REER MIROS, Ts. Mohd Shafie Nemmang mencadangkan pemilik jalan membina semula jalan raya yang telah matang serta merancang pembinaan yang lebih sistematik supaya dapat dijalankan selari dengan isu kekangan peruntukan.

Pegawai Penyelidik Unit Trafik dan Infrastruktur Jalan, REER MIROS, Ts. Mohd Shafie Nemmang.

“Pembinaan jalan baharu juga boleh mengaplikasikan reka bentuk jalan yang terkini dan juga menggunakan teknologi-teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti jalan raya di Malaysia sekaligus mengurangkan kadar nahas di jalan raya.

“Usaha juga boleh ditingkatkan untuk mengurangkan kerosakan jalan seperti meningkatkan penguatkuasaan ke atas kenderaan membawa lebih muatan yang merupakan antara faktor utama jalan raya mudah rosak dan mencapai jangka hayat lebih cepat daripada tempoh yang sepatutnya,” katanya.

Tambahnya lagi, kajian menunjukkan bahawa penyediaan fasiliti jalan yang baik terbukti dapat mengurangkan nahas di jalan raya.

Loading...
Terkini