Tumpuan :
Nasional

Sistem di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya ditambah baik

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan pihak pentadbiran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengambil tindakan segera susulan aduan kesesakan dan dakwaan kekurangan kakitangan serta fasiliti di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Pada masa sama, beliau mengakui sistem sedia ada di hospital berkenaan perlu ditambah baik.

“Terima kasih atas keprihatinan (aduan). Saya ambil maklum dan saya sendiri telah turun ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya beberapa hari lalu.

“Hospital ada ‘system in place’, cuma saya akui perlu ada penambahbaikan dan telah mengarahkan untuk tindakan segera oleh pihak pentadbiran KKM,” katanya dalam ciapan di laman Twitter, hari ini.

Beliau memberi respons kepada bebenang ciapan oleh pengguna akaun Twitter, Nayli Majid yang tular sejak tengah malam tadi yang mengadu kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya, selain mendakwa tiada sistem diguna pakai di hospital tersebut antara lain nombor giliran dipanggil tidak mengikut urutan.

Pengguna akaun Twitter itu turut mendakwa kekurangan doktor dan jururawat, fasiliti dan kemudahan seperti katil pesakit, kerusi di ruangan menunggu keluarga pesakit serta kerusi roda tidak mencukupi, termasuk kebersihan tandas yang tidak memuaskan.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu hari ini.

Loading...
Terkini