PETALING JAYA: Sisa minyak yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11, semalam dipercayai akibat kegiatan dari sebuah tapak kuari.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya memberitahu, pencemaran dikesan jam 10.45 pagi dan siasatan mendapati sisa minyak memasuki Sungai Langat melalui saluran pembentungan pada jarak 123 meter (m) daripada muka sauk LRA berkenaan.
Siasatan segera turut dilakukan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap lapan premis berhampiran yang disyaki punca pencemaran itu.
“LUAS bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) segera melaksanakan siasatan ke atas lapan premis berhampiran sebelum mengenalpasti punca aliran minyak itu daripada sebuah premis aktiviti kuari yang tertakluk kepada Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Sisa berkenaan mengalir masuk melalui pembentung bawah tanah ke saliran bersebelahan premis kilang kayu dan akhirnya ke Sungai Langat.
“Semakan LUAS di premis aktiviti kuari itu juga menemukan aliran kesan dan bau minyak yang kuat dengan anggaran jarak daripada lokasi penemuan punca aliran berminyak ke muka sauk LRA adalah sekitar 366 meter,” kata LUAS .
Menurut LUAS, pensampelan di beberapa lokasi berkaitan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Sementara itu, dua beg activated carbon (AC) dan masing-masing seunit oil boom dan oil pad telah diletakkan bagi tujuan menyekat aliran minyak selain nyah bau sebelum aliran masuk ke Sungai Langat.
Oil boom turut dilaksanakan di muka sauk LRA Cheras Batu 11 bagi tujuan pencegahan dan kawalan.
“Pemantauan statik setiap 30 minit dilakukan antara Sungai Langat ke muka sauk LRA tersebut dengan pensampelan ujian bau menunjukkan bacaan sifar ton dan keadaan air sungai kembali normal.
“Siasatan dan tindakan kawalan segera di tapak ini telah membolehkan LRA Cheras Batu 11 beroperasi semula kurang daripada empat jam selepas dihenti tugas sementara bermula pukul 10.45 pagi hingga 2.30 petang semalam.
Namun tiada gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.