Kuala Lumpur: Bekas anggota Unit Tindakhas (UTK) Sirul Azhar Umar yang sebelum ini disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altatuya Shaaribu, pada 2006 masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, meskipun Sirul dalam satu kenyataan terbaru kepada media antarabangsa Al Jazeera, menyatakan dia ingin terus menetap di Australia namun notis merah terhadapnya masih diteruskan.
Menurutnya, polis pada masa ini masih meneliti dan mencari penyelesaian untuk membawa pulang Sirul kembali ke negara ini.
“Kami masih mengkaji kaedah untuk membawa pulang Sirul dan kini ia di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Nama beliau (Sirul) masih disenaraikan di bawah notis merah Interpol,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sirul dalam temu bual bersama Al Jazeera yang disiarkan hari ini menyatakan dia mahu meneruskan kehidupan di Australia, kerana beranggapan dirinya tidak selamat jika kembali ke tanah air.
Beliau juga turut memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaaribu.
Media sebelum ini melaporkan bekas Koperal UTK itu dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan imigresen negara itu sejak 2015.
Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.
Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian, termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.
Menurut laporan media itu lagi, berita pembebasan Sirul Azhar disahkan anak lelakinya, Shukri Azam yang kini turut menetap di Australia.
Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar Umar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.
Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.
Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.
Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pembebasan Sirul, Australia dijangka tidak beri kerjasama – Ketua Polis Negara
- [VIDEO] Sirul dibebaskan dari tahanan imigresen Australia
- [VIDEO] Keluarga Altantuya menang tuntutan saman, dapat ganti rugi RM5 juta
- Kes saman Altantuya: Kerajaan, Razak Baginda fail rayuan
- 6 terbabit skandal 1MDB, SRC antara 10 rakyat Malaysia dalam senarai Notis Merah INTERPOL