PETALING JAYA: Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 dibebaskan daripada Villawood Detention Centre di Sydney.
Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada 8 November lalu bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen, lapor The Daily Mail.
Laporan The Guardian Australia pula memetik peguam, William Levingston, mengesahkan Sirul telah dibebaskan semalam tetapi tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia.
Sirul kini dilaporkan berada bersama saudaranya di Canberra.
Sirul antara berpuluh-puluh orang yang dibebaskan daripada tahanan imigresen susulan keputusan mahkamah itu.
Menteri Imigresen Australia Andrew Giles dan Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil dalam kenyataan bersama berkata, kerajaan menimbang pendekatan lain yang wajar bagi menjamin keselamatan komuniti.
Pada April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Sirul dan Azilah Harun, kedua-duanya bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan membunuh wanita Mongolia itu.
Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di penjara di Malaysia sementara Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap mereka.
Sirul kemudian berada di pusat tahanan imigresen Villawood sejak 2015 selepas ditahan polis Australia.