Tumpuan :
Nasional

‘Sinkhole’ di MRR2, laluan ke Ampang sesak 

Kejadian lubang benam di Seksyen 21.30 MMR2 arah Ampang didapati berpunca daripada penutup ‘slab crossing culvert’ yang patah. FOTO Ihsan JKR

KUALA LUMPUR: Pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Ampang, Selangor dinasihatkan menggunakan laluan alternatif berikutan berlaku ‘sinkhole’ (lubang benam) di Seksyen 21.30 jalan berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8 pagi tadi, menyebabkan lorong kedua laluan di lokasi kejadian terpaksa ditutup daripada dilalui kenderaan untuk kerja pembaikan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak dalam kenyataan hari ini, berkata lokasi kejadian lubang benam itu berhampiran Stesen Minyak Shell Hulu Kelang dan laluan yang ditutup sepanjang 10 meter.

“Laluan masih dibuka kepada semua kenderaan, namun aliran trafik di laluan itu sesak sejauh kira-kira dua kilometer dan kesesakan dijangka terus meningkat.

“Justeru, pengguna jalan raya yang menuju ke arah Ampang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu dengan menggunakan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE),” katanya.

Menurut JKR Gombak, kejadian lubang benam itu didapati berpunca daripada penutup ‘slab crossing culvert’ yang patah.

Katanya, petugas kini sedang mengawal trafik di lokasi kejadian dan kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh JKR Gombak selepas mendapat penilaian bagi melaksanakan kerja pembaikan di tapak.

Loading...
Terkini