Tumpuan :
Nasional

Singapura Tarik Balik Telur Dicemari Salmonella Dari Malaysia

FOTO: Singapore Food Agency (SFA)/Facebook

KUALA LUMPUR: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan telur yang diimport dari sebuah ladang di Malaysia ditarik balik selepas mengesan Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk terbabit.

Memetik laporan CNA, telur berkenaan dibekalkan Teo Seng Layer Farm 1 dengan dikenal pasti melalui kod “CEJ027” yang tertera pada kulitnya.

Dalam satu kenyataan media semalam, SFA memaklumkan ladang berkenaan tidak dibenarkan untuk mengeksport telur keluarannya ke Singapura sehingga isu pencemaran itu diselesaikan sepenuhnya.

SFA turut mengarahkan kesemua enam pengimportnya menggantung penjualan atau menarik balik telur daripada ladang berkenaan.

BH Fresh Food diarah menarik balik telur yang diedarkan ke kedai runcit sebagai langkah berjaga-jaga

“Salah satu pengimport, BH Fresh Food diarah menarik balik telur yang diedarkan ke kedai runcit sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang turut memberitahu, lima lagi pengimport lain turut dikehendaki mengambil langkah sama.

Dalam pada itu, SFA menyarankan orang ramai yang membeli telur terbabit disarankan memasaknya dengan betul sebelum dimakan.

Bagi yang memakan telur dan berasa tidak sihat perlu mendapatkan rawatan perubatan.

Salmonella Enteritidis boleh terdapat di dalam telur, begitu juga di kulit telur.

Bakteria boleh hidup dalam telur mentah dan yang tidak dimasak betul serta menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Gejala termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, mual dan muntah.

Loading...
Terkini