Tumpuan :
Nasional

Sindiket visa perubatan: Imigresen beri kerjasama penuh kepada EAIC

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil kepada pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ia susulan laporan media berkaitan siasatan oleh suruhanjaya terbabit ke atas beberapa pegawai Imigresen kerana disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

“JIM mengesahkan bahawa pihak EAIC telah hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawai Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini sebuah portal berita yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM melaporkan, beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.

Sindiket terbabit membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan namun bekerja secara haram di negara ini.

Sumber itu berkata, siasatan baru-baru ini melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lalu melibatkan satu negeri sahaja.

Katanya, setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM4,500.

Mengulas lanjut, menurut Zakaria, dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku.

Ujar beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan.

“JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran
integriti selaras dengan fokus utama JIM iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini