Tumpuan :
Nasional

Sindiket ‘Ulat Kad SIM’ warga asing di KLIA tumpas

Kesemua suspek berusia 22 hingga 50 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan kad SIM yang beroperasi sejak dua bulan lalu.- Foto JIM.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Sindiket penjualan kad SIM secara haram oleh warga asing di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam satu operasi khas yang dijalankan pada jam 1.30 petang semalam, sembilan warga Bangladesh ditahan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka berusia antara 22 hingga 50 tahun, terlibat dalam aktiviti penjualan kad SIM yang beroperasi sejak dua bulan lalu dan menyasarkan pelancong dari negara yang sama.

“Kad SIM daripada pelbagai telco Malaysia yang dijual akan didaftarkan atas nama individu lain dan dijual dengan harga RM25 sekeping.

“Soal siasat awal mendapati hasil penjualan kad SIM ini boleh mencecah sehingga RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut dirampas, empat pasport Bangladesh, 10 telefon bimbit, 121 keping kad SIM daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan, lapan keping jarum pembuka kad SIM serta wang tunai berjumlah RM1,555.

Semakan lanjut mendapati lima daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, dua tinggal lebih masa, manakala dua lagi dipercayai telah melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Lima lelaki ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Dua lagi ditahan di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Manakala, dua lagi ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan mereka,” ujarnya.

Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini