PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen hasil serbuan di sebuah premis di Setapak, ibu negara dan menahan 10 individu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Samah berkata sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan kepada individu yang ingin memohon pinjaman institusi kewangan tempatan dengan memalsukan dokumen untuk dikemukakan kepada pihak bank.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Wangsa Maju dan JSJK IPK Kuala Lumpur melakukan serbuan semalam.
Hasil serbuan empat lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun ditahan.
Turut dirampas 3 set komputer, 77 keping kad ATM pelbagai bank, 10 unit telefon bimbit, 42 cap getah atas nama pelbagai syarikat dan beberapa dokumen bank, SSM, CTOS serta penyata gaji atas nama pelanggan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pemalsuan dokumen.
Siasatan awal mendapati sindiket menawarkan perkhidmatan melalui media sosial kepada individu yang ingin mendapatkan pinjaman wang dari bank tempatan.
Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak empat tahun lalu di sekitar ibu negara.
Kea disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.