comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup warga asing: Imigresen serah kepada SPRM jalankan siasatan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut susulan penahanan pegawainya yang disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Sambil mengalu-alukan tindakan tersebut, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“JIM menegaskan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan dan negara,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’.

Susulan itu, SPRM menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ruslin, tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

“JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya.

Pada masa sama, JIM mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku Pegawai Imigresen seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesalahan tatatertib dan rasuah melalui talian 03-8880 1246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini