comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup warga asing: 4 penguat kuasa antara 11 individu direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 kerana dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.

Seramai tiga penguat kuasa lelaki direman selama lima hari sehingga Ahad ini manakala seorang lagi penguat kuasa lelaki direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini.

Selain itu, tiga pemilik syarikat membabitkan dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari serta seorang pemilik syarikat wanita direman selama empat hari.

Turut direman selama lima hari adalah dua orang awam iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket terbabit, manakala seorang pengurus syarikat lelaki yang direman selama empat hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, kesemua supek yang berusia antara 20 hingga 50-an itu ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu sindiket membawa masuk warga asing menerusi KLIA Terminal 2 menggunakan modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’ dengan bantuan pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa.

“Sindiket ini dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak mengatur laluan ‘kaunter khas’ khusus untuk kumpulan warga asing tertentu yang tiba di negara ini menggunakan khidmat penerbangan sejak beberapa tahun lalu.

“Menerusi laluan kaunter khas yang diatur ini, kumpulan warga asing yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021,” katanya.

Menurut sumber lagi, susulan operasi dijalankan, SPRM turut menyita beberapa keping pasport warga Pakistan dan Indonesia, 13 unit telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

Sumber berkata, kesemua suspek terbabit termasuk seorang penguat kuasa yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ditahan menerusi Op Pump dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan sekitar jam 9 hingga 6 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing seperti daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan menerusi modus operandi ‘kaunter khas’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini