KUALA LUMPUR: Sumbat berpuluh ekor monyet primat marmoset di dalam kotak kayu sebelum cuba diseludup melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kegiatan sindiket pemerdagangan hidupan liar dilindungi itu bagaimanapun berjaya dipatahkan sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dengan menyelamatkan 48 ekor Common Marmoset dan empat ekor primat tamarin tangan emas ( Golden-handed Tamarin ).
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan rampasan itu adalah hasil tindakan empat pegawainya yang melakukan pemeriksaan di pusat kargo KLIA jam 4 petang kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan kemudian dilakukan sebelum pihaknya menemui 48 ekor Common Marmoset dan 4 ekor Golden-handed Tamarin yang disimpan di dalam tujuh kotak sangkar kayu.
“Seorang individu yang dipercayai ejen sindiket penyeludupan hidupan liar itu ditahan di lokasi sama.
“Suspek gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi pengimportan barangan berkenaan sebelum ditahan. Laporan polis dibuat di Balai Polis Aeropolis KLIA.
“Ejen itu ditahan mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam 2008 dan kes turut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
“Perhilitan komited untuk memerangi jenayah hidupan liar bagi melindungi warisan semula jadi kita untuk generasi akan datang. Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti sindiket yang terbabit dengan penyeludupan ini,” katanya.
Difahamkan semua haiwan liar dilindungi itu cuba diseludup keluar dari Malaysia.
Marmoset disifatkan monyet Dunia Baru yang sangat kecil dan berasal di barat daya hutan hujan Amazon di Brazil, Colombia, Ecuador dan Peru.
Monyet kecil itu hanya mempunyai berat sekitar 236 gram hingga 360 gram.
Kedua-dua spesies diancam oleh kehilangan habitat akibat penebangan hutan serta perdagangan haiwan peliharaan haram.
Monyet kecil itu boleh dijual mencecah harga US Dollar 6,000 ( RM26,890 ) seekor di pasaran gelap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.