JOHOR BAHRU: Sembunyikan ketulan ganja mampat dalam balang biskut raya sebelum menggunakan syarikat penghantaran barang untuk dihantar ke Borneo.
Itu modus operandi terbaru sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar dalam serbuan, bulan lalu di sebuah pejabat syarikat penghantaran di bandar raya ini susulan risikan selama tiga bulan hasil maklumat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, hasil serbuan di syarikat penghantaran itu membawa kepada penemuan sembilan bungkusan biskut raya, selain kacang yang disasarkan untuk pasaran Borneo.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas sembilan bungkusan kuih raya berkenaan, sebanyak 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja disembunyikan dalam bekas lutsinar bersama-sama biskut raya.
“Ini adalah kali pertama sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan modus operandi menghantar dadah yang disembunyikan bersama biskut raya sebelum dihantar menggunakan syarikat penghantar barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Susulan penemuan ganja yang disembunyikan dalam bungkusan biskut raya itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang membuat penghantaran biskut raya itu untuk dihantar ke Borneo ditahan untuk siasatan lanjut.
“Penahanan suspek pertama itu akhirnya membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di bandar raya ini yang dijadikan pusat pembungkusan ganja yang kemudiannya akan dikirim menerusi syarikat penghantaran bersama biskut raya berdasarkan tempahan,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Misbahudin berkata, serbuan di kediaman yang dijadikan pusat pembungkusan itu membawa kepada penahanan suspek kedua, seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif dadah.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di kediaman berkenaan membawa kepada penemuan ketulan mampat dipercayai ganja seberat 24 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM82,874.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan memiliki dadah berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan 15 sebatan maksimum,” katanya