Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup dadah bernilai RM1.15 juta tumpas

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Unit Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Timur 4 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) Bukit Aman, mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 36 kilogram, bernilai RM1.15 juta.

Dadah tersebut ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditahan di Kilometer 268.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), berhampiran Kemaman kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, kenderaan itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kelantan ke ibu negara.

Siasatan lanjut mendapati, 35 bungkusan syabu disembunyikan dalam plastik lutsinar dalam kenderaan itu.

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, berasal dari Kuala Besut, ditahan.

“Bahagian Pelucuthakan Harta JSJN turut menyita wang dalam akaun suspek berjumlah RM681,718.”

“Suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan hukuman sebatan sebelum ini, direman selama tujuh hari hingga 24 Disember dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambahnya syabu yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini