Oleh: Safwan Sawi
SEMPORNA: Satu sindiket penyelewengan minyak petrol ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan merampas 3,000 liter minyak petrol bersubsidi, di sini, Khamis lalu.
Rampasan itu dibuat menerusi Op Tiris 3.0 hasil serbuan ke atas sebuah stesen minyak di pekan Semporna oleh pasukan penguat kuasa KPDN cawangan Semporna, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Semporna, Dr Jong Jee Leong berkata, tindakan berkenaan diambil hasil risikan yang telah dilakukan oleh penguat kuasa KPDN sebelum operasi dijalankan.
Modus operasi sindiket ini adalah menggunakan lori serta mengisi minyak petrol di beberapa stesen minyak sebelum dikumpulkan dan diedar di pasaran gelap.
“Hasil pemeriksaan ke atas semua lori berkenaan, menemui sebanyak 120 tong mengandungi cecair yang disyaki petrol dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 3,000 liter.
“Sebuah lori disyaki membawa minyak petrol disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,369,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Ia bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak petrol berkenaan termasuk sumber minyak petrol itu diperolehi dan diedarkan.
“KPDN juga sedang giat melaksanakan pemantauan berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Jee Leong memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.
“Mana-mana yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta.
“Bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Syarikat terbabit juga tambahnya boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika disabitkan kesalahan mengikut Akta 613 boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.