![](https://media.buletintv3.my/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-8.50.04-AM.jpeg)
MELAKA: Sembilan ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa yang berpangkalan di negeri ini dicekup polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kegiatan sindiket itu yang menjadikan sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, di sini, sebagai pusat operasi terbongkar hasil intipan dan pemantauan dilakukan pihaknya.
Menurutnya, dalam serbuan jam 10 pagi 7 Februari lalu, polis menahan sembilan individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita Cina tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita warganegara China.
Katanya, suspek ditahan berumur antara 26 hingga 43 tahun dan dipercayai terbabit dalam sindiket pusat panggilan jenis penipuan pekerjaan antarabangsa yang menyasarkan mangsa terdiri daripada rakyat sebuah negara di kepulauan Caribbean dengan menawarkan komisen dalam dolar Amerika Syarikat (USD).
“Siasatan polis mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa menerusi laman sosial Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket ini melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram.
“Mangsa kemudiannya akan diarahkan untuk membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang https://amcsthatres.com yang kononnya bertujuan untuk menaikkan jumlah maklumbalas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan.
“Apabila selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskan tugasan akan diarahkan membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini dan turut dijanjikan dengan komisen antara AS$70 (310.79) hingga AS$100 (RM444) bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Md Nazri berkata, begitupun selepas membuat bayaran mangsa tidak dibayar komisen seperti dijanjikan dengan sindiket terbabit dipercayai memperolehi keuntungan berjumlah RM54,000 sebulan hasil dari kegiatan itu.
Katanya, menerusi serbuan itu polis turut merampas pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000 iaitu sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Semua individu ditahan kini direman empat hari bermula 8 Februari lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.